Islamic Widget

Wednesday, March 30, 2011

Insan kreatif jika berpegang kepada Al-Quran


Ufuk Minda Oleh Prof Dr Sidek Baba

AL-QURAN yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW terkandung hikmah besar memberi petunjuk dan pedoman kepada manusia. Petunjuk dan pedoman yang benar menjadi inti pati risalah kenabian dan kerasulan.

Sebab itu, rasul dihubungkan sebagai pembawa khabar gembira dan peringatan dan ramai manusia tidak mengetahui. Kebenaran ajaran Rasulullah SAW adalah kebenaran disampaikan Allah SWT menerusi wahyu-Nya.

Terdapat faktor nyata yang boleh difikir dan dicerapi pancaindera, itupun dalam keterbatasan. Alam ini terjadi tanpa batas dan tepinya. Hanya Allah mengetahui hakikat kejadiannya.

Memahami alam dan kejadian tidak memadai dengan kajian dan penyelidikan kerana ada kalanya teori mengenai sesuatu dibangunkan dalam keadaan tidak tetap dan sifatnya berubah-ubah. Apabila berlaku penemuan baru, teori lama dianggap tidak relevan.

Sedangkan faktor alamiah itu tetap. Silih berganti siang dan malam, putaran bintang, sistem solar, galaksi, hidup dan mati manusia adalah tetap. Itulah sunnatullah. Allah menjadikan alam dan manusia dalam hubungan kada dan kadarnya.

Allah menjadikan bumi ini dengan tiga perempat air adalah dengan kadarnya. Allah jadikan gunung-ganang sebagai pasak bumi adalah dengan kadarnya. Allah ciptakan manusia dengan ketinggian dan had umur tertentu adalah dalam rangka kadarnya.

Tentu ada hikmah terhadap sesuatu kejadian dan bagi manusia yang berfikir, semua itu memperlihatkan tanda kebesaran-Nya.

Kebenaran daripada Allah perlu disampaikan kerana ia satu amanah. Apabila asas kepercayaan kepada Tuhan adalah terhadap Allah yang satu, maka ia sesuatu yang fitrah dan logik.

Mana mungkin alam ini dikendalikan sekiranya terdapat pelbagai Tuhan. Mana mungkin Tuhan itu digambarkan dalam bentuk berhala atau patung sedangkan berhala dan patung itu dibuat manusia.

Islam mengajar manusia menyembah Allah yang ghaib dengan meyakini bahawa terciptanya diri manusia sebagai tanda adanya Allah dan adanya alam ini adalah sebagai tanda kebesaran-Nya.

Manusia tidak boleh melakukan penciptaan. Penciptaan bermula daripada tiada kepada ada. Kuasa Allah boleh menyebabkan sesuatu pada mulanya ada dan akhirnya menjadi tiada. Manusia hanya boleh melakukan pengubahan kerana akal yang diberi menjadikan manusia kreatif.

Islam bukan saja agama berasaskan suatu sistem kepercayaan, ia juga adalah cara hidup. Daripadanya lahir sistem. Alam ini dicipta dengan sistem. Cakerawala yang bergerak dan beroperasi adalah dengan sistem. Tanpa suatu sistem terarah, pertembungan boleh berlaku.

Sifat tertib faktor alamiah menyebabkan wujudnya keteraturan dan disiplin. Manusia perlu belajar daripada sifat alam atau faktor kosmos. Secara rohaniah alam ini patuh kepada sifat jadinya.

Sifat air membersih, melembutkan tanah-tanih dan menyuburkan pokok untuk menjadi sumber rezeki manusia, menjadi sumber minuman manusia dan haiwan. Ia menjadi sumber rahmah dan nikmah manusia.

Sebagai hamba Allah, faktor alamiah memberi pedoman kepada manusia pentingnya manusia memiliki jiwa hamba yang tinggi supaya asas kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran sentiasa menjadi pedoman kehidupan manusia.

Sekiranya manusia ingkar terhadap kebenaran, sombong terhadap kejadian, takbur terhadap sedikit kelebihan, kehidupan manusia akan menjadi kacau. Jiwa rukuk dan sujud membimbing manusia terus berada dalam fitrah. Inilah kebenaran ajaran Islam yang menjadi amanah untuk diperjuangkan.

Rasulullah SAW selama 23 tahun memikul amanah kenabian dan kerasulan menjadikan asas kebenaran daripada Allah sebagai suatu amanah perlu diperjuangkan dengan teguh hati, bijaksana dan menerusi qudwah atau contoh teladan.

Manusia selalunya tidak hanya mendengar kata-kata yang baik, nilai ilmu tinggi, kalimah hebat tetapi manusia memerlukan contoh dan peribadi seimbang dengan kebaikan menjadi lafaz dan ucap.

Terdapat sesetengah orang, pemikirannya tinggi, tulisannya hebat, pidatonya merangsang tetapi peribadi dan sahsiah tidak menggambarkan apa ditulis dan apa disyarah.

Sesetengah orang suka dirinya dipuji, disanjung dan pantang dikritik. Sesetengah orang berbangga dengan pemikiran dan teorinya mengenai sesuatu tetapi sahsiahnya tidak menggambarkan adab tinggi hingga menyebabkan orang lain keliru dan celaru.

Rasulullah SAW adalah seorang maksum dan dijamin masuk syurga tetapi solat dan tahajudnya luar biasa. Rasulullah SAW melaksanakan amanah dakwah dan tarbiyah tetapi terus berdoa untuk mendapatkan petunjuk dan kekuatan daripada Allah.

Rasulullah SAW adalah seorang pengasih, penyayang, tegas dan keras pada tempatnya, pembimbing dan pengasuh di tempat lain, bijaksana dan strategik bila perlu dan sentiasa beradab dalam melakukan sesuatu.

Adalah menjadi amanah kepada pendukung Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik. Tidak ada lebih baik daripada contoh Allah kurniakan kepada umat manusia iaitu Rasulullah SAW pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Pendekatan alamiah Rasulullah SAW membina Madinah akhirnya terbukti membina jejak dan landasan terbangunnya suatu tamadun selepas itu.

Sirah dan sunnah Rasulullah SAW menjadi satu amanah untuk diperjuangkan umat terkemudian. Ramai pemimpin umat dan kerajaan Islam, malah tamadun rosak dan runtuh akibat amanah Rasulullah SAW tidak dijadikan pedoman dan ikutan.

Kebenaran dibawa Rasulullah SAW mempamerkan bagaimana kisah dalam al-Quran sewajarnya menjadi sumber teladan kepada manusia, lantaran ia boleh berulang kembali.

Prinsip dilakarkan al-Quran seharusnya menjadikan manusia lebih kreatif, tetapi tidak menolak faktor syarak amat asasi bagi manusia. Pendekatan fekah harus sifatnya dinamik lantaran banyak benda baru yang wujud memerlukan jawapan dan alternatif.

Oleh itu, amanah kebenaran yang diwahyukan Allah dan diperjuangkan Rasulullah SAW seharusnya dilihat sebagai rahmah masa dan zaman. Islam tidak mengajar manusia mengenai faham kebekuan dan kejumudan.

Dinamika Islam menghubungkan prinsip jelas dan benar bersama kaedah dan pendekatan kreatif, dinamik tanpa menjejas asas fitrah yang menjadi inti kepada risalah.

Ia mengundang proses pengilmuan dan pendidikan mantap supaya wujud sinergi dalam ilmu dan wujud integrasi dalam amalan. Ilmu memberikan manusia pedoman dan jalan, amalan menjadikan hidup lebih bermakna.

Rasulullah SAW membuktikan kepada kita bagaimana al-Quran itu hidup dalam dirinya. Sahsiah Qurani sewajarnya menjadi pedoman terbaik kepada manusia supaya manusia terus berada dalam fitrah dan melihat kehidupan sebagai amanah besar membimbing manusia ke arah kebenaran dan makruf. Inilah amanah Islam yang perlu diperjuangkan dengan bijaksana.


Sumber: Berita Harian 11.4.2007

No comments:

Post a Comment