Islamic Widget

Wednesday, March 9, 2011

TAYAMMUM

Apa makna tayammum?


Tayammum bermaksud menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua tangan sebagai ganti wudhuk dan mandi wajib ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sakit, terlalu sejuk atau sebagainya.[1] Keharusan tayammum telah sabit dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah di dalam al-Quran (bermaksud); 

“Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu”. (al-Maidah: 6).

Bila diharuskan tayammum?
Secara dasarnya, ada dua sebab yang mengharuskan tayamumm;
1. Kerana keputusan air; sama air tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak cukup untuk mengambil wudhuk.
2. Kerana tidak mampu menggunakan air

Apakah dalil keharusan bertayammum apabila keputusan air?
Dalil keharusan bertayammum kerana keputusan air ialah hadis dari Said bin Abdurrahman bin Abza yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Seorang lelaki datang berjumpa Umar r.a. dan bertanya; “Aku telah berjunub dan aku tidak menemui air (untuk mandi)”. Umar menjawab; “Janganlah kamu mengerjakan solat (hingga kamu menemui air)”. Namun ‘Ammar bin Yasir r.a. (yang ada bersama Umar ketika itu) berkata kepada Umar; “Tidakkah engkau ingat ketika kita sama-sama dalam satu musafir di mana kita berdua telah berjunub dan kita tidak menemui air (untuk mandi). Adapun kamu, maka kamu memilih untuk tidak menunaikan solat. Adapun aku, maka aku telah berguling di atas tanah (untuk bertayammum) dan kemudian aku menunaikan solat”. Apabila diceritakan kepada Nabi s.a.w., maka baginda berkata (kepada ‘Ammar); “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.[2]

Apakah dalil keharusan bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

Dalilnya ialah hadis dari Amru bin al-As r.a. yang menceritakan; “Semasa dalam peperangan Zatus-Salasil, aku telah bermimpi (hingga keluar mani) pada malam yang bersangatan sejuk, lalu aku bimbang jika aku mandi mungkin akan membawa kebinasaan kepadaku. Maka aku pun bertayammum dan kemudian aku menunaikan solat Subuh bersama sahabat-sahabatku (tentera-tentera Islam). Apabila kami tiba di Madinah (setelah selesai perang), mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang telah aku lakukan (yakni bertayammum). Maka Rasulullah bertanya kepadaku; ‘Wahai Amru! Apakah kamu menunaikan solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu berjunub?’. Lalu aku menjawab; ‘Aku teringat firman Allah; “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”. (an-Nisa’; 29).

Maka kerana ayat itu aku pun bertayammum dan kemudian mengerjakan solat’. Mendengar peneranganku, Rasulullah s.a.w. ketawa dan baginda tidak berkata apa-apa”.[3]



Imam ad-Daruqutni menceritakan bahawa Saidina ‘Ali ditanya berkenaan seorang lelaki yang berada dalam musafir, lalu ia ditimpa junub sedang air yang ada padanya hanya sedikit di mana ia bimbang jika air itu digunakan untuk mandi wajib menyebabkan ia kehausan. Jawab Saidina ‘Ali; “Hendaklah ia bertayammum”. Imam Ahmad pernah menceritakan; “Beberapa orang sahabat bertayammum dan mereka menyimpan air untuk minuman mereka”.[4]

Apakah contoh-contoh keadaan yang mengharuskan tayammum kerana tidak mampu menggunakan air?
1. Tidak mampu menggunakan air kerana sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman dari doktor.
2. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau akan datang.
3. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia menggunakan air.
4. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu manusia atau binatang buas.
5. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya atau sebagainya.
6. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.
7. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti dibersihkan).
8. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.

Apakah syarat-syarat sah tayammum?
Untuk sahnya tayammum, para ulamak telah menggariskan syarat-syarat berikut;[5]
Pertama; Hendaklah orang yang bertayammum mempunyai keuzuran yang menghalangnya dari menggunakan air iaitu kerana keputusan air atau tidak mampu menggunakan air.
Kedua; Berusaha mencari air terlebih dahulu jika tayammum dilakukan kerana keputusan air.
Ketiga; Hendak lah tayammum itu dengan menggunakan tanah yang bersih
Keempat; Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu
Syarat pertama telahpun kita huraikan tadi iaitu tatkala memperkatakan tentang bilakah harus kita bertayammum. Untuk berikutnya kita huraikan syarat-syarat selebihnya iaitu yang bersangkutan dengan kewajipan mencari air, bahan tayammum (iaitu tanah menurut jumhur ulamak) dan waktu dilakukan tayammum.

Bagaimana jika ada air, namun tidak mencukupi untuk bersuci, adakah digunakan air baru tayammum atau terus tayammum?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;[7]

Pandangan pertama; wajib digunakan air yang ada itu, kemudian barulah bertayammum bagi anggota yang tidak dapat dicuci dengan air. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie (dalam qaul jadidnya).

Pandangan kedua; hendaklah terus bertayammum dan tinggalkan air itu. Pandanagn ini adalah pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari al-Hasan, az-Zuhri, Hammad, Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie (dalam qaul qadimnya), Ibnu al-Munzir dan al-Muzanie (murid Imam Syafi’ie).

Kalau seseorang itu lupa bahawa dalam kenderaannya ada air atau ia lupa ada menyimpan air di satu tempat, lalu ia pun bertayammum dan mengerjakan solat; bagaimana hukumnya? 
Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;
Pertama; menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak dipakai tayammum itu, yakni solatnya wajib diulangi semua setelah mengambil wudhuk dengan air tersebut. Hujjah mereka ialah; thoharah dengan air adalah perintah yang wajib. Ia tidak gugur semata-mata kerana lupa.
Kedua; menurut Imam Abu Hanifah; dipakai tayammum itu, yakni solatnya sah kerana lupa adanya air membawa ia kepada tidak dapat menggunakan air, maka halnya sama seperti orang yang ketiadaan air.

Adakah harus bertayammum dengan tanah bernajis?

Tidak harus kerana tayammum wajib dengan tanah atau bahan yang bersih kerana Allah menyebutkan di dalam ayat “صعيدا طيبا” (sha’id yang bersih). Begitu juga, Nabi s.a.w. juga bersabda; “Sha’id (tanah) yang bersih adalah alat bersuci bagi seorang muslim jika ia tidak mendapati air sekalipun selama sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia menyapu air (yakni membasuh) badannya. Demikian itu lebih baik baginya”.[8]Menurut Abu Hamid; hukum tersebut telah disepakati oleh sekelian ulamak.[9]
Adakah disyaratkan masuk waktu sahnya tayammum?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; jumhur ulamak (terdiri dari mazhab Imam Malik, Syafi’ie, Ahmad dan lain-lain) berpandangan; tidak sah tayammum melainkan setelah masuk waktu solat sama ada tayammum kerana keputusan air atau kerana tidak mampu menggunakan air. Maksud ‘masuk waktu’ ialah tiba waktu yang mengharuskan suatu solat itu dilakukan. Disyaratkan masuk waktu kerana tayammum adalah toharah darurat seperti mana toharah wanita yang istihadhah di mana kedua-duanya tidak menghilangkan hadas, akan tetapi dilakukan hanya untuk mengharuskan solat sahaja. Maka sebagaimana wanita yang istihadhah tidak harus mengambil wudhuk melainkan setelah masuk waktu, begitu juga orang yang ingin melakukan tayammum juga tidak harus melakukannya melainkan setelah masuk waktu solat.
Kedua; Imam Abu Hanifah berpandangan; tayammum tidak terikat dengan waktu, yakni harus melakukan tayammum sekalipun belum masuk waktu. Beliau mengkiaskannya dengan wudhuk dan toharah-toharah yang lain (mandi, menyapu khuf, menghilangkan najis). Sebagaimana wudhuk harus dilakukan sebelum masuk waktu solat, maka tayammum juga sedemikian kerana ia disyariatkan sebagai ganti kepada kedua-duanya.[10]
Apakah syarat tayammum bagi orang sakit atau luka? 

Tidak semua jenis sakit atau luka mengharuskan tayammum. Sakit atau luka yang mengharuskan tayammum ialah sakit atau luka yang penggunaan air ditakuti akan menyebabkan at-talaf (kematian atau kemusnahan anggota) atau mendatangkan mudarat pada badan. Ia merangkumi;[11]

1. Akan menyebabkan kematian atau kerosakan pada aggota (التلف); lumpuh dan sebagainya.

2. Penggunaan air menimbulkan penyakit yang membawa kematian atau kerosakan anggota.

3. Menyebabkan sakit bertambah teruk atau penyakit semakin melarat.
4. Menyebabkan lambat sembuh
5. Menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung.
6. Menimbulkan kecacatan dan kejelikan yang ketara pada badan; seperti kulit menjadi hitam atau sebagainya.

Kesan-kesan yang dibimbangi tersebut dari penggunaan air hendaklah disahkan oleh pengalaman sendiri atau berdasarkan makluman dari doktor yang mahir. Menurut mazhab Syafi’ie; doctor itu hendaklah muslim dan adil (tidak fasiq). Tidak diterima pengakuan atau pengesahan dari doctor kafir atau fasiq.[12]Namun menurut mazhab Imam Malik; harus memakai pandangan atau makluman dari doktor kafir jika tidak ada doktor muslim.[13]
Bilakah batalnya tayammum?

1. Tayammum adalah bersuci gantian bagi wudhuk. Apabila berlaku kepada orang yang bertayammum perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk sebagaimana yang telah kita jelaskan dalam tajuk yang lalu (contohnya, ia telah terkentut atau tersentuh kemaluan atau sebagainya), maka batallah tayammumnya. Kesimpulannya, perkara-perkara yang membatalkan wudhuk juga akan membawa kepada batalnya tayammum.

2. Bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air, tayammumnya batal apabila telah bertemu air. Sebaik bertemu air, dengan sendiri tayammumnya terbatal. Apabila hendak solat semula, wajib ia mengambil wudhuk, yakni tidak cukup dengan tayammumnya tadi sekalipun ia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan tayammumnya. Jika ia bertayammum tadi kerana ganti mandi wajib, hendaklah ia mandi wajib sebelum mengerjakan solat berikutnya.

3. Jika seorang bertayammum, kemudian belum sempat mengerjakan solat ia telah menemui air, tidak harus ia menunaikan solat dengan tayammum itu, akan tetapi hendaklah mengambil wudhuk, kemudian baru tunaikan solat. Ini kerana tayammumnya dengan sendiri terbatal dengan kerana bertemu air sekalipun belum sempat mengerjakan solat. Jika air ditemui semasa sedang solat (seperti ada orang memberitahunya semasa sedang solat itu), jika ia ingin meneruskan solatnya diharuskan dan solatnya sah. Namun sebaik-baiknya ialah ia menghentikan solatnya, kemudian mengambil wudhuk dan melakukan semula solat. Jika air ditemui setelah selesai solat, sah lah solat yang ditunaikan sebelum bertemu air itu dan tidak perlu diulangi semula sekalipun waktu masih ada.

4. Jika bertayammum kerana keuzuran (seperti sakit, sejuk keterlaluan dan sebagainya), tayammum dikira terbatal sebaik sahaja hilang keuzuran. Contohnya; jika seseorang bertayammum kerana sakit, maka sebaik ia sembuh dari sakit, batallah tayammumnya.

No comments:

Post a Comment